Sebagai umat Islam kita perlu tahu bahawa Al-Quran adalah kitab yang suci dan mulia yang mengandungi kalam Allah swt. Setiap huruf di dalam naskah Al-Quran tidak boleh di cemari marlahan perlu di jaga kesuciannya..

Baru-baru ni kak ana berada di kampung kerana kesihatan mak kak ana yang tidak begitu baik . Selama berada di sana, kak ana mengemas bilik dan terjumpa 2 naskah Al-Quran lama dan juga cebisan koyak helaian Muqaddam waktu kami kecil-kecil dahulu, yang di gunakan untuk belajar mengaji Al-Quran. 


cara lupuskan al quran lama

Kak ana bungkus dalam kain dan bawa balik ke rumah di Rawang dan niat nak lupuskan dengan cara yang terbaik. Nak jadikan bahan bacaan pun dah ada helaian dalamnya di makan bubuk, warna kertas pun dah kekuningan.

Cara melupuskan Al-Quran lama atau rosak 


Sampai rumah, kak ana cari di internet cara-cara untuk melupuskan al-Quran. Terdapat beberapa kaedah untuk kita melupuskan al-Quran lama yang kak ana jumpa di internet . Antara cara melupuskan Al-Quran yang kak ana jumpa adalah seperti berikut :

1. Bakar Al-Quran tersebut di tempat yang sesuai. Kemudian, abunya dihanyutkan ke dalam air sungai atau air laut yang deras arusnya.

2. Bakar Al-Quran kemudian tanam abunya ke dalam tanah.

3. Tanamkan Al-Quran yang sudah rosak dalam tanah yang tidak dilalui orang atau binatang buas.

4. Hantarkan Al-Quran pada pusat pelupusan Al-Quran yang berdekatan

5. Hantarkan Al-Quran pada pusat-pusat tertentu seperti pusat percetakan Al-Quran yang disahkan oleh Jakim.

Sumber: Fitrah Islami

Perkhidmatan Pelupusan Al-Quran Bkt Beruntung/Bkt Sentosa Rawang


Namun, dari perkongsian di atas, kak ana tidak berapa yakin dengan keselamatan kesucian ayat-ayat Al-Quran dengan melakukannya sendiri. Bila kak ana cari lagi dengan lebih mendalam, debu-debu cebisan bahan bakar ayat Quran ni juga perlu di pelihara agar tidak berterbangan dan jatuh ke bumi lalu di pijak makhluk lain. Nak di hanyut ke laut pun kak ana sukar untuk berada di tengah laut melainkan persisir pantai Jeram yang terdekat ni pula di penuhi  orang ramai.


Perkhidmatan Pelupusan Al-Quran Bkt Beruntung/Bkt Sentosa Rawang


Kak ana memilih kaedah terakhir iaitu mencari pusat pelupusan Al-Quran yang di iktiraf JAKIM agar ia benar-benar di lupuskan dengan kaedah yang betul. Hasil carian di internet, Alhamdulillah tak jauh sangat dari kediaman kak ana sendiri, kak ana menjumpai FB Perkhidmatan Pelupusan Al-Quran Bkt Beruntung/Bkt Sentosa Rawang .


Perkhidmatan Pelupusan Al-Quran Bkt Beruntung/Bkt Sentosa Rawang


Dari rujukan FB mushafdilupus/  ni kak ana dapatkan nombor whatsapp Ustaz Haji Rahib untuk kak ana dapatkan info-info bagaimana untuk menghantar al-Quran yang ingin di lupuskan. Alhamdulillah kak ana mendapat respon dari Tuan Haji Rahib dan menjelaskan beberapa perkara sebelum kita menghantar al-Quran untuk di lupuskan di sini. 

Tuan Haji Rahib memberikan kak ana location untuk ke sana di mana ia beralamat di No 52, Jalan Seroja 5D/3 , BS 6 , Bukit Sentosa 2, 48300 Rawang. Waktu operasi setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum mulai jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Sebaiknya hubungi dahulu Tuan Haji Rahib di 019-2866622 sebelum datang kerana bimbang mereka keluar kawasan untuk urusan pengumpulan atau pelupusan Al-Quran.


cara lupuskan al-quran lama, koyak atau rosak

Bahan-bahan akan di timbang dan di caj RM4 setiap kilogram. Bahan termasuklah al-quran, buku-buku agama yang mengandungi tulisan ayat-ayat suci Al-Quran atau pun buku sekolah yang mempunyai ayat-ayat Al-Quran sahaja naa.. 

Keesokan harinya kak ana dan suami pun terus ke Pusat Pelupusan Al-Quran di Bukit Sentosa ni membawa 2 naskah A-Quran lama dan juga cebisan koyak mukasurat muqaddam yang kak ana bawa dari kampung. Kak ana bungkus dalam kain untuk mengalasnya.

Sampai di lokasi memang banyak timbunan bahan-bahan bacaan, buku-buku agama dan al-quran yang belum dilupuskan. Dan menurut pekerja di sini, sebahagian besar adalah dari rentetan peristiwa banjir di Selangor yang lalu di mana pusat ini pernah di kunjungi Ustaz Wadi Annuar dan team sukarelawan untuk sama-sama membantu pelupusan.

Bila di timbang bungkusan kak ana tak sampai pun sekilo, kak ana tidak dikenakan apa-apa bayaran. Namun kak ana berikan juga sedikit sumbangan kepada 2 orang pekerja di sana. Alhamdulillah sangat kak ana dan suami diberikan penerangan bagaimana proses pelupusan Al-Quran ini di jalankan di pusat ini dan melihat sendiri relau yang di gunakan untuk membakar.


cara lupuskan al-quran lama , koyak dan rosak

Menurut pekerja di situ, naskah al-Quran atau buku-buku agama ni akan di bakar di dalam relau pada suhu tinggi sehingga abunya berwarna putih dan tidak dibiarkan berterbangan di udara. Hanya asap yang di lepaskan ke udara. 

Kemudian abu-abu putih ini akan dikumpul dan bancuh dengan air supaya berat dan dijemur dalam bekas-bekas pada cuaca panas sehingga keras dalam mangkuk-mangkuk plastik. Proses jemur ini juga dipelihara sebaiknya di letakkan di atas meja yang tinggi agar tidak di cemari.

Mangkuk-mangkuk berisi debu yang kering ini kemudian di simpan di dalam stor sehinggalah terkumpul lebih kurang 6 bulan sekali akan di bawa ke tengah laut dengan bantuan Jabatan Maritim Malaysia bersama pemantauan dari anggota JAKIM untuk di lupuskan di tengah-tengah laut.

Debu-debu al-Quran ni akan cair semula bila terkena air laut dan lenyap. Begitulah kaedah yang di terangkan kepada kak ana dan suami. Syukur sangat adanya pusat-pusat sebegini untuk kita sama-sama memelihara kemulian dan kesucian ayat-ayat Al-Quran sehinggalah ia dilupuskan dengan cara yang betul dan sempurna, In Syaa Allah... 

Jadi sekiranya korang mempunyai naskah Al-Quran yang lama, rosak atau koyak atau pun buku-buku agama, buku sekolah anak-anak contohnya, carilah pusat pelupusan Al-Quran berdekatan dan sempurnakanlah pelupusannya sebaik mungkin. Bagi yang berdekatan Rawang, korang boleh lah ke pusat Pulupusan Al-Quran di Bukit Sentosa berpandukan info yang kak ana berikan di atas. Semoga bermanfaat...




2 Comments

  1. Alhamdulillah cara pelupusan al-Quraan sempurna dilakukan

    ReplyDelete
  2. Masyaallah begitu rupanya caranya...Terima kasih kak Ana sebab kongsikan.

    ReplyDelete