Selepas sahaja Kak Long selamat bersalin di Hospital Cyberjaya , tengahari tu terus kak ana dan suami ke sana. Mula-mula dalam fikiran kak ana , makan kak long. Faham sangat bila lepas bersalin ni kita pasti akan berasa teramat lapar, kosong perut, kan.
Hospital memang akan bagi menu makanan, tetapi bukan semua sesuai dengan kondisi badan masing-masing. Ada yang tahan, Alhamdulillah.. tapi ada juga yang alah dengan beberapa jenis menu ketika selepas bersalin ni.
Ada yang alah pada kegatalan, ada yang alah pada sejuk dan angin dalam badan. Semua pun bergantung pada ketahanan badan masing-masing. Macam kak ana , apa sahaja yang arwah opah dan arwah mak bagi makan masa kak ana berpantang dahulu, hat tu la yang kak ana akan bagi makan pada kak long.
Tapi tidak lah kata akan ikut 100% pantang dulu-dulu, ada yang akan kak ana ubah mengikut kefahaman ilmu pemakanan dan perubatan moden masa kini. Tidak terlalu ekstrem dalam berpantang ni kan.
Bukan semua pantang dulu-dulu itu betul dan tidak juga semuanya salah dan kuno. Yang mana rasanya baik dan mampu kita amalkan di masa kini. Antaranya bertungku. Ini yang akan kak ana kongsikan serba sedikit pengalaman lalu dan kini kak ana guna pakai dalam menjaga kak long dalam tempoh berpantang di rumah kak ana.
Bertungku tradisional
Sepanjang pengalaman hayat pinjaman Allah swt pada kak ana melewati setengah abad ni, ada dua jenis tungku tradisional yang kak ana tahu. Tungku batu dan tungku besi. Kedua-duanya pernah kak ana rasai pengalaman menggunakannya waktu berpantang bersama arwah opah dan mak.
Arwah opah kak ana merupakan seorang bidan kampung dahulunya, jadi semua alatan berpantang ni ada lah dengannya. Termasuk lah jamu rempah pun di buatnya sendiri waktu tu. Semua pun raw kome, minum air rempah jamu, makan maajun telan depan-depan.
Tungku batu
Ini adalah tungku batu yang tukang urut kak long, kak Zan bawa masa mengurut kak long selama 3 hari. Lepas seminggu juga lah baru kak ana panaggil tukang urut untuk urut badan kak long selama 3 hari berturut-turut. Pakej dari kak Zan ni selama 3 hari urut satu badan selama 2 jam lebih kurang, kemudian dia akan tungku kan sekali dan hari kedua dan ketiga bertangas wap.
Murah juga berbanding harga lain yang kak ana survey sebelum ni di group taman bila ada beberapa nama tukang urut yang kak ana hubungi dan bertanya. Dengan kak zan ni 3 hari cuma RM250 sahaja. Merasa lah kak long melalui pengalaman berurut, tungku dan tangas wap atau sauna.
Tungku besi
Ini pula adalah tungku besi, besan kak ana pinjam dari jirannya. Tungku besi begini lah yang kak ana gunakan milik arwah opah dahulu. Tungku ni ada sahaja di jual di Shopee. Mula-mula rasa nak beli tapi bila besan kata jirannya ada, pinjam sahaja lah.
Tungku besi ni sama kaedah dengan tungku batu. Bakar di atas api dapur gas sahaja. Tapi kena ada alas dapur besi tu juga untuk meletakkannya. Panas kan dalam masa 15 minit sebelah dan pusing sebelah lagi dalam masa 15 minit lagi. Api perlahan sahaja.
Kemudian ikut cara arwah opah dahulu, alas kan dengan daun mengkudu. Menurut kak Zan, kalau tak ada daun mengkudu boleh juga alas dengan daun pisang, daun lengkuas atau daun pokok kantan yang ada di belakang rumah kak ana ni.
Letakkan tungku besi atas daun mengkudu, kemudian lipat dalam kain batik lama. Balut kemas dan biar berlapis juga kainnya supaya tidak terlalu panas terkena pada tangan dan perut kita. Pemegang balut kain batik ni biar tebal sikit lipatannya. Begitu juga pada bahagian bawah balutan.
Rasa elok-elok supaya tak terlalu panas , naya kalau melecet pada tangan dan kulit perut. Agak-agak laa naa. Bila dah boleh pegang kemas, letakkan perlahan atas perut di bahagian keliling peranakan atau rahim kita.
Alih perlahan tanpa perlu mengangkat , lebih kurang pusing-pusingkan sahaja di sekeliling dan tekankan perlahan. Hati-hati sentiasa. Gerakkan sekeliling hingga tungku makin kurang tahap kepanasannya.
Kak ana suka juga letakkan di bawah telapak kaki dan bahagian belakang pinggang bila selesai bertungku di bahagian peranakan. Lega jer rasa panas-panas suam bahagian perut kita selepas bertungku.
Apapun terpulang pada cara masing-masing dalam melakukan rawatan berpantang ni. Ikut lah pada tradisi dan cara masing-masing. Ini adalah cara yang kak ana lalui sendiri dan kak ana apply pula pada kak long. Dia pun nak ikut, kak ana buat lah apa yang terdaya.
Tempoh bertungku ni kak ana lakukan selama sebulan, itu pun bukan setiap hari. Kadang-kadang tak sempat juga bila terpaksa ke Klinik Kesihatan pada hari-hari tertentu waktu baby kuning. Alhamdulillah.. dah nampak kempis dan kemas semula perut kak long .
Peranakan dah mula mengecut dan nampak kembali kepada bentuk perut asal. Selepas bersalin memang nampak dan boleh rasa lembik dan kembung pada bahagian perutnya. Selepas bertungku , sapu kan cream panas dan kak ana ikat bengkung kan nya pula. Nanti kak ana akan sambung kisah berbengkung pula, In syaa Allah...
1 Comments
Teringat pengalaman bersalin dulu, memang wajib bertungku ni. Kadang² rasa malas jugak tapi takut nanti kena marah kalau tak buat. Dah tua² ni baru tahu kebaikannnya bertungku dulu.
ReplyDelete