Di tanahair kita yang tercinta ini, syukur Alhamdulillah..terdapat pelbagai jenis buah-buahan yang sedap-sedap dan lazat sebagai makanan.Ada yang boleh didapati sepanjang tahun dan ada juga yang hanya muncul ketika musimnya tiba.Rahmat dariNya yang tidak pernah putus buat hamba-hambaNya amatlah disyukuri.

Idea untuk menulis entri ini terbit ketika ana dan keluarga sedang menyicah buah jambu air yang sedang masak ranum di belakang rumah.Kemudian sempatlah berbual dengan anak-anak kisah macam-macam lagi jenis jambu yang dah semakin pupus dan sukar untuk ditemui lagi di kawasan bandar.Usah kata di taman-taman perumahan malahan di kampung halaman ana sendiri sudah tidak ada lagi pokok-pokok jambu yang dulunya bersepahan di lantai bumi ketika musimnya.


jenis-jenis buah jambu


Berbekalkan memori silam di kampung halaman ketika zaman kanak-kanak dahulu ana kongsikan disini beberapa jenis buah jambu yang pernah ana lihat dan menikmatinya.

Jenis-jenis buah jambu 

Jambu air:


Jambu air cicah kicap


Inilah jambu air yang sedang masak ranum dibelakang rumah. Ana dan anak-anak suka makan jambu air ini dicicah dengan gula dan kicap.Buah jambu air masih banyak terdapat ketika musimnya.Ada pelbagai jenis juga seperti jambu air madu yang saiznya lebih panjang dan rasanya sangat manis.Banyak dijual di pasar-pasar tani atau pasar malam dan ana pernah membelinya dengan harga lebih kurang RM7-8 sekilo.

Jambu batu:

 

Jambu batu (merah dan putih)

Antara jenis jambu yang mudah didapati sepanjang masa tanpa bermusim ialah jambu batu.Jika dahulu di kampung halaman ana di Teluk Intan, kami panggil jambu ni, jambu  merasa.Ada yang berwarna putih dan ada yang berwarna merah.Kini ia telah dikomersilkan dan dijadikan jeruk,jus,dikeringkan dan dimakan begitu sahaja.

Jambu kepal/jambu bol:

 

jambu bol , jambu kepal
Jambu kepal/jambu bol (Google Image)

 

Seakan-akan jambu air berwarna merah cuma ia berbelang-belang putih.Rasanya masam sedikit dan berbiji diruang tengahnya.Sedap juga di makan dengan gula dan kicap.Suatu masa dahulu di hadapan rumah arwah Tok terdapat pokok jambu kepal dan lebat berbuah ketika musimnya, namun kini tiada lagi kerana telah ditebang pokoknya yang semakin tinggi dan tidak berbuah lagi.

Jambu susu:

 

jambu susu
Jambu susu (kredit foto:nickirfan.blogspot.com)


Memang sukar untuk dijumpai lagi ketika ini.Pernah beberapa tahun dahulu kami mencari jambu susu kerana adik ipar yang teringin memakannya ketika hamil namun hampa.Jambu susu yang berwarna putih ini rasanya sangat masam.Pokoknya besar dan tinggi.Mungkin masih terdapat di kawasan-kawasan kampung di lain-lain daerah di serata tanahair.Anak-anak anapun belum pernah melihat dan merasa jambu susu .


Jambu mawar:

 

jambu mawar
Jambu mawar (Google Image)


Buah jambu mawar rasanya agak tawar.Berwarna kuning bila masak ranum dan berbau harum.Mungkin sebab itulah dipanggil jambu mawar.Isi agak nipis dan berbiji di ruang tengah.Jika suatu masa dahulu, kami akan singgah dipohon jambu mawar dan memetiknya untuk dimakan ketika balik dari mengaji Al Quran.Kini buah jambu mawar makin sukar untuk ditemui lagi.

Jambu bertih:

 

jambu berteh
Jambu bertih (kredit foto:seri_kepayang.blogspot.com)


Pokok jambu bertih rendang dan rendah sahaja.Buahnya lebat dan bersaiz kecil didalam satu gugus.Ada juga terdapat buah jambu bertih berwarna 'pink'.Rasanya tawar jugalah dan ana rasa masih banyak di tanam di kampung-kampung atau dusun-dusun.

Inilah sahaja yang dapat ana kongsikan sedikit info tentang jenis-jenis buah jambu yang terdapat di tanahair berdasarkan pengalaman ana semata-mata.Mungkin ada kesilapan fakta atau nama panggilan yang berbeza mengikut negeri masing-masing.Namun yang pasti ada diantara buah jambu di atas yang semakin sukar untuk ditemui lagi.Kadang kala teringin juga nak makan buah jambu tersebut tetapi sukar dicari.


~berkongsi kisah buah jambu di sini~