Bandar Kuala Pilah:

Bandar Kuala Pilah
Hampir lima bulan kami berulang alik dari Rawang ke Kuala Pilah, mula-mula boleh di katakan selang seminggu ke sana, selepas kak long pandai berdikari dan balik dengan KTM Komuter, setiap kali pulang sahaja kami menghantarnya ke Kuala Pilah.Namun akhir semesta satu yang lalu 16hb Oktober, Kuala Pilah akan kami kenang sebagai satu tempat yang pernah singgah didalam catatan perjalanan hidup kami.Kuala Pilah tidak lagi akan kami kunjungi kerana kak long bakal berpindah ke kampus Tapah untuk semesta seterusnya.

Bandar  Kuala Pilah adalah merupakan salah satu daripada tujuh daerah yang terdapat di Negeri Sembilan iaitu Kuala Pilah, Jelebu, Johol, Tampin, Rembau, Port Dikson dan Seremban. Kedudukan Kuala Pilah adalah terletak dibahagian tengah Negeri Sembilan iaitu diantara Bahau dan Seremban.

Kuala Pilah terkenal sebagai pusat pelancongan kebudayaan dengan seni warisan Adat Perpatih dan merupakan "Bandar Diraja di Negeri Sembilan". Penduduknya masih berpegang pada adat perpatih terutamanya dalam hal-hal kemasyarakatan dan keseniannya dan ianya masih dikekalkan terkenal sehingga ke hari ini.

Tempat-tempat menarik di Kuala Pilah:

Disepanjang jalan dari Ampangan ke Kuala Pilah melalui kampung-kampung Melayu terdapat deretan gerai menjual pelbagai hasil tanaman seperti pisang, jeruk petai, buah-buahan ,kraf tangan dan yang paling sinonim disini ialah ayam, itik atau ikan keli salai. Jika musim buah-buahan bermacam jenis buah di jual , ana pernah singgah membeli buah tampoi, buah limau bali, petai , pisang tanduk dan sebagainya.

Uitm kampus Beting :

UiTM Kampus Beting,Kuala Pilah

Ke sinilah destinasi tetap kami setiap kali ke Kuala Pilah, menghantar atau mengambil kak long dari kampus setiap kali cuti hujung minggu.Entri penuh tentang kampus ini boleh di baca di SINI . Kisah pengalaman pertama ana menghantar anak melanjutkan pelajaran ke IPTA.

Muzium Diraja Seri Menanti:

 

Istana Seri Menanti, Muzium Diraja Kuala Pilah

Sebelum sampai ke bandar Kuala Pilah ,kita akan terlebih dahulu melalui bandar diraja Seri Menanti.Disini terdapat sebuah istana lama yang di jadikan sebuah muzium Diraja Seri Menanti.Kaya dengan ciri senibina Minangkabau tersergam indah memukau pandangan. Didalamnya di hias ruang-ruang asal istana lengkap dengan meja makan , bilik tidur dan lain-lain kelengkapan istana. Entri lengkap bolehlah ke SINI

Makam DiRaja Seri Menanti :

 

Makam Diraja Seri Menanti


Bersebelahan Makam Diraja ialah masjid Tunku Munawir di bandar diraja Seri Menanti.Disekitar bandar diraja ini terdapat banyak rumah-rumah tradisional bercirikan Minangkabau dengan pintu-pintu gerbang yang indah.

Istana Besar Seri Menanti:

 

Istana Besar Seri Menanti (Imej Google)
Di bandar diraja Seri Menanti ini juga terletaknya Istana Besar , tempat bersemayamnya Yam Tuan Besar Negeri Sembilan.Semua acara rasmi seperti majlis pertabalan diraja dan majlis anugerah diadakan di Istana Besar Seri Menanti. Pada 26 Oktober 2009, pertabalan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilam  ke-11 Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir diadakan di istana ini.

  Hutan Lipur Ulu Bendul:


Hutan Lipur Ulu Bendul (Imej Google)

Dipertengahan jalan selepas Bukit Putus menghala ke bandar Kuala Pilah, kita akan sampai ke Hutan Lipur Ulu Bendul di Tanjung Ipoh. Sebuah taman rekreasi yang sangat terkenal di Negeri Sembilan.Disini juga terdapat sebuah taman ular. Kolam mandi turut disediakan bagi mereka yang tidak mahu mandi air sungainya yang sejuk dan nyaman. Ana cuma singgah riadah disini dan tidak pernah bermandi manda.


Sungai Ulu Bendul (Imej Google)

Sesuatu yang agak istimewa di Kuala Pilah ini ialah masakan lemak cili api. Pelbagai pilihan masak lemak cili api yang dijual di kebanyakan premis makanan seperti masak lemak cili api daging salai, ayam kampung, ikan keli salai dan masak lemak cili api telur itik. Namun jika tidak tahan dengan tahap kepedasannya siap sedialah dengan air sirap kerana iannya memang sangat pedas.

Itulah antara coretan perjalanan ana dan keluarga sepanjang kami mengunjungi bandar Kuala Pilah.Terima kasih Kuala Pilah kerana telah sempat menjadi sebahagian daripada persinggahan kami menyusuri perjalanan kehidupan.

~berkongsi info disini~