Sebuah Diari

Hari ni dah nak berakhir Januari 2015, awal-awal tahun hari tu teruja sangat bila suami bawa balik sebuah diari, diari 'free' je pun dari kontraktornya.... Konon-konon tahun ni nak mula semula menulis riwayat di muka surat diari hitam, namun hingga ke saat ini , ia masih kosong..kosong..kosong..

Ana rasa mungkin faktor usia agaknya yang membuatkan tiada minat untuk kembali mengisi catatan diari.Berbeza ketika di usia remaja, hari-hari menulis dihelaian-helaian hingga ke hujungnya.Macam-macam kisah yang diluahkan didadanya, kisah cinta remaja, masalah dengan kawan-kawan, tak puas hati dengan mak ayah, rindu kecewa dan seribu satu coretan.

Kini, bukannya dah tiada cinta yang mewangi, masih mekar buat sang suami, anak-anak, ibu ayah, adik beradik tapi tak tercatat pula di dalam diari.Lebih mudah dizahirkan sahaja barangkali.Lagipun zaman sekarang ni orang lebih suka meluah rasa di laman sosial, biar semua orang tahu agaknya apa yang dirasai ketika itu.Jangan sampai membuka aib orang disekeliling kita sudahlah...berhati-hati sentiasa dengan sebarang 'posting'.

Akhirnya, diari hitam ni , terbiar sepi. Nak salin resepi pun malas juga sebab bila nak cari resepi-resepi baru, boleh Google sahaja...nak buat buku catatan alamat dan nombor telefon pun tak perlu dah sebab dah ada dalam 'contact' di 'handphone'. Simpan sahajalah jawabnya sampai hujung tahun, terbiar begitu sahaja.Inilah kisah ana dan sebuah diari...