Menara Condong Teluk Intan,Warisan Kebangsaan;

 

menara condong teluk intan perak
Menara Condong Teluk Intan

Inilah Menara Condong Kebanggaan ana dan anak jati Teluk Intan yang lain pastinya.Semalam semasa perasmian rumah terbuka perayaan Tahun Baru Cina 2015 peringkat Malaysia, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan Menara Condong Teluk Intan sebagai Warisan Kebangsaan.

Beliau berkata Menara Condong Teluk Intan, yang dibina pada 1885, memiliki keunikan yang amat ketara dengan konsep Pagoda yang menunjukkan pengaruh kekayaan budaya dan seni bina Cina seperti pada gerbang, bumbung genting dan hiasan jubinnya.

 "Sejarah bangunan yang merupakan mercu tanda Bandar Teluk Intan ini unik kerana fokusnya adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Ia dijadikan sebagai tangki air pada waktu kemarau dan juga mempunyai kemudahan memadam api.

"Jam yang terdapat pada menara ini juga merupakan lambang perpaduan rakyat Teluk Intan kerana ianya merupakan hasil sumbangan derma daripada penduduk tempatan pada ketika itu," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2015 di sini malam ini.

 Menara Condong ini juga menjadi satu daripada tarikan kepada pelancong yang berkunjung ke Perak seperti 'The Leaning Tower of Pisa' di Itali.Justeru, beliau berkata kerajaan juga dalam proses mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa bagi menjadikan Menara Condong Teluk Intan sebagai satu daripada warisan Dunia UNESCO.

"Sesungguhnya, usaha mengekalkan dan memelihara warisan dan budaya merupakan tanggungjawab kita bersama.

"Diharap ia juga akan dapat mempromosi Teluk Intan sebagai pusat tarikan pelancong dalam dan luar negara di masa akan datang," katanya.

Petikan sumber BERNAMA.

Sudah pastilah pengiktirafan ini amat bermakna buat kami warga Teluk Intan khasnya, lebih-lebih lagi bagi ana yang sangat sayang akan warisan senibina mercu tanda yang sudah berabad usianya ini. Jam tinggi Menara Condong Teluk Intan akan kekal sebagai satu ikon kebanggaan kami semua.In Shaa Allah.