Masak Lemak Labu 




Menu ringkas makan tengahari beberapa hari yang lepas. Ini pun atas permintaan suami ana semasa kami ke pasaraya membeli barangan dapur.Terpandang buah labu, tiba-tiba teringin nak makan masak lemak katanya. Sebenarnya, ana memang tak makan sayur labu ni, sebab dari muda lagi tak berani nak makan.Bila makan pasti sakit urat satu badan, kata mak, buah labu ni ber'angin'. Tak tahu lah mak, angin datang dari mana :) 

Sebenarnya mungkin sebab sejuk kut sayur labu ni dan alah dengan tubuh badan ana. Dulu semasa kecil memang ada semput, Alhamdulillah kini dah tiada lagi, cuma rasa fobia dengan buah labu sampai ke hari ini. Oleh itu, ana cuma beli separuh saiz kecil buah labu dan masakkan untuk suami, gulai lemak labu. Sepinggan ana hantar kepada jiran dapat juga mereka menikmatinya.

Gulai lemak labu ni, ana tumiskan dahulu bahan seperti bawang merah, cili padi dan ikan bilis yang telah ditumbuk. Kemudian masukkan santan cair, buah labu dan setelah hampir empuk, barulah ana masukkan santan pekat lemak berkrim.Rasakan dengan garam dan tambah daun kunyit untuk aroma yang lebih wangi dan tradisional Melayu kan.... Siap untuk hidangan. Nak sedap makan dengan ikan rebus goreng atau ikan masin , menurut komen rakan-rakan di facebook beberapa hari lepas.