Cara ubah suai perabot lama jadi baru




Percaya tak dengan modal RM3.50 atau RM5.30 permukaan perabot lama rumah kita boleh berubah wajah? Percayalah jangan tak percaya.. jom ana cerita sikit bagaimana mengubah permukaan perabot lama kita nampak baru dan berbeza corak. Begini kisahnya... :) 

Selalunya apabila kita menukar perabot di ruang tamu, pasti perabot lama kita alih ke dapur atau bilik tidur kan. Lainlah jika memang ada bajet yang tinggi, namun dalam keadaan ekonomi yang agak tenat kini, mana yang boleh jimat kita jimatkan sedaya mungkin. Tepuk dada tanya poket. 

Selepas menukar sendiri wallpaper di rumah baru-baru ini (kisahnya di SINI ) ,suami ana turut telah makeover semula meja tv di dalam bilik tidur kami. Meja tv ni memang dah berusia 20 tahun, ialah kami membelinya ketika mula-mula mendirikan mahligai perkahwinan, reka bentuk pun dah ketinggalan zaman. Cuma ianya masih boleh digunakan, nak tak nak simpan dalam bilik tidur sahaja. 



Dah tukar separuh jalan baru ana teringat nak buat tutorial ni di blog, nasib baik ada satu lagi permukaan belum di tukar, dapatlah ana kongsikan rupa paras permukaan meja tv sebelum di ubahsuai.Fesyen lama kan.. tapi masih boleh digunakan lagi, simpanlah sampai reput :) 





Dan inilah pula bahan yang diperlukan untuk proses ubahsuainya. Segulung Self Adhesive Foil dan pisau. Self Adhesive Foil ni, kami beli di Mr DIY dengan harga RM3.50 sahaja. Terdapat pelbagai pilihan corak yang ada. Juga terdapat di Daiso dengan harga wajibnya RM5.30. 


self adhesive foil

Satu gulung berukuran 45cm x 2 meter. Ambillah ukuran perabot sebelum membelinya, bimbang jika tidak cukup dan apabila ingin membelinya semula, kehabisan stok pula corak yang sama. Kan naya...




Inilah dia permukaan Self Adhesive Foil apabila kita buka. Ianya berpelekat sendiri memudahkan kerja. Bolehlah di lekatkan di mana-mana permukaan perabot yang hendak diubah suai dan potong mengikut ukuran permukaannya. Cuma pastikan permukaan perabot telah dibersihkan serta kering sebelum melekatkannya. Pasti akan nampak baru permukaan perabot lama di rumah kita nanti. In Shaa Allah.


Permukaan meja tv selepas di makeover 

Ana juga menukar permukaan meja belajar anak yang telah lama kepada corak baru. Untuk meja belajar, hanya segulung Self Adhesive Foil cukup digunakan satu permukaan meja .

Permukaan meja belajar lama sebelum di pasang self adhesive foil 


Selepas makeover meja belajar 


Taadaa... meja belajar Adik Ika sudah berwajah baru. Dia memilih warna hitam untuk dipadankan dengan perabot yang lain di dalam biliknya. Bolehlah bermain dengan corak untuk memberi kombinasi warna tema bilik masing-masing dengan modal semurah RM3.50 sahaja. (Harga pada entri diterbitkan). 

Semoga perkongsian ana kali ini memberi sedikit idea untuk melakukan makeover dengan bajet yang murah. Terpulang pada kreativiti masing-masing.