Daun Pucuk Manis




Pagi tu macam selalu sambil membasuh kain jengok kebun serbaneka di belakang rumah, pokok pucuk manis dah makin meninggi. Ana ambil keputusan untuk mencantas pucuknya dan masak lemak dengan ubi keledek dan udang kering. Resepi mak ana ni yang ajar. Memang sedap, lemak manis sahaja rasanya. Bagi yang tak mengenali mana rupa sayur pucuk manis , inilah dianya seperti di dalam gambar di atas.


Kalau di kampung ana di Teluk Intan, mak memanggilnya sayur asin-asin. Petua mak juga mengajar sebelum masak daun pucuk manis ni seeloknya di celur seketika dengan air panas kemudian tos dan perah dan bilas sehingga air hijaunya hilang. Bukan apa, mak kata kalau tidak ia akan mengeluarkan sejenis bau yang agak kuat dan boleh mendatangkan pening kepala.Waallahu a'lam.


Masak lemak pucuk manis




Resepi masak lemak pucuk manis ni amatlah mudah, sama lah seperti kaedah kita masak lemak sayur yang lain. Selepas di celur sayur pucuk manis tadi dan buang air hijaunya, ana rebuskan dahulu ubi keledek yang di racik dengan santan cair iaitu perahan santan kedua sehingga empuk. Kemudian masukkan bawang merah, cili api dan udang kering atau ikan bilis yang telah di tumbuk lumat. Masukkan sayur pucuk manis tadi dan didih seketika. Apabila ia mengelegak barulah masukkan santan pekat dan garam secukup rasa. Siap untuk sajian. :)