14hb September 2017, airmata lara menangisi kisah pilu subuh 23 Zulhijjah 1438H di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat. Allahu, naluri keibuan ku benar-benar runtun saat melihat satu demi satu perkongsian yang di siarkan di media-media.Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Anak-anak syurga insan terpilih bersama dua penjaga mereka dijemput Sang Pencipta dalam suatu tragedi yang amat pilu. Airmata deras mengalir dan sebak menyelubungi jiwa seluruh rakyat yang mengikuti kisah sedih ini. Walau sekuat mana pun bibir berkata redha akan takdir yang menjanjikan syurga buat mereka, namun hati sekuat manapun tak mampu berbohong. 

Sebagai saudara seagama, aku berdoa agar diberikanNya kekuatan dan ketabahan buat keluarga yang sedang berduka lara. Mereka sedang berlari gembira menuju ke taman-taman syurga Firdaus yang indah dan disambut para malaikat dengan penuh kasih sayang dan kesejahteraan. Itulah gambaran yang diberikan di dalam Al-Quran kisah anak-anak syurga. Kepergian yang amat memilukan sekadar asbab pada sebuah kematian. Mereka suci, antaranya yang masih kecil, dengan Al-Quran tersemadi di dada, dalam sedang dalam perjalanan menuntut ilmu yang dituntutNya jua. Dan mereka juga bakal menanti ayah bonda di pintu syurga untuk bersama mereka bila bumi telah tiada lagi kelak, bila akhirat menjadi penghujung perjalanan nan abadi.

Satu coretan yang paling menyentuh naluri jiwa seluruh ibu ketika kisah syahid di subuh hari ini diperkatakan ialah sehelai warkah tinggalan anak syurga buat bondanya yang tercinta. Amiel Asyraf Abdul Rashid, 11 tahun untuk bondanya Puan Norhayati Khalid. Puan Norhayati bertemu kali terakhir ketika menghantar sebungkus nasi pattaya ke pusat Tahfiz sehari sebelum peristiwa pilu dan Amiel Asyraf menyerahkan nota terakhir buat kenang-kenangan pengubat lara dan rindu si ibu.


Ya Allah...Sayunya jiwa membaca coretanmu anak syurga. Terkesan sungguh nota terakhir mu wahai anak. Walaupun tidak pernah mengenali siapa engkau wahai anak, kami dapat merasai kasih sayang abadimu buat ayah bondamu. Bertuahnya ibu yang mengandungkan dan melahirkan zuriat sebersih jiwamu. Beruntunglah ayah yang membesarkanmu dengan penuh kasih sayang memliki anak sesuci hatimu, wahai anak...Allahu.. engkau dan seluruh anak-anak terpilih yang telah pergi pada saat dan ketika itu, kepergian kalian menjadi tauladan untuk kami terus berdoa agar kami juga bisa beroleh anak-anak syurga dambaan ayah bonda. 

Damailah jiwa keluarga yang di tinggalkan. Seluruh tanahair bahkan seluruh umat Islam yang mengikuti kisah pilu insan syahid di subuh hari sedang sama-sama berdoakan kesejahteraan mereka. Redhakan kepergian mereka 22 pelajar dan dua warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, bertemu Tuhan Yang Esa, Yang Amat Pengasih dan Penyayang, Tuhan Sekalian Alam. Kita juga bakal menyusul. Cara dan waktunya sahaja mungkin berbeza, destinasinya tetap sama. Akan ada hikmah disebalik kisah pilu ini. Dan pastinya akan kekal di ingatan selagi hayat di kandung badan. Mereka,di antara anak-anak syurga insan terpilih yang kepergian mereka diiringi azan Subuh yang berkumandang. Maha Suci Allah, Tuhan Sekelian Alam. Al-Fatihah....


12 Comments

  1. Nota terakhir yang akan mengikat kenangan untuk ibu ayahnya.Niat tulusnya Allah tunai..dan ini caranya.Kita tangisi sedang mereka menjadi penghuni syurga yang setia menanti insan-insan yang rasa sakit kehilangan mereka..subhanAllah.Ibu ayah beruntunglah kerana sudah ada yang menantumu di taman dambaan manusia.Al - Fatihah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allahu..anak-anak terpilih ini anugerah terindah buat kedua ayah bonda mereka.

      Delete
  2. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat keatas semua roh mangsa dan semoga diberi ketabahan buat semua ahli keluarganya menghadapi dugaan besar ini.. Al Fatihah.. aamiin.

    ReplyDelete
  3. innalillahiwainnailaihiraajiun...tak mampu ungkapkan apa-apa semoga rohnya dirahmati Allah

    ReplyDelete
  4. semoga semua kerabat mangsa di beri ketabahan insya Allah mereka menjadi tabungan surga kelak Amin

    ReplyDelete
  5. al-fatihah....
    sedih sgt tiap kali baca. sebak!
    syurga buat mu wahai anak-anak tahfiz :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamiin.. hati siapa tak sebak dan pilu Aida, apatah lagi keluarga terdekatnya yang lebih kehilangan anak-anak syurga :(

      Delete