Pisang oh pisang... pisang ni pemberian jiran berbangsa Cina ana tempoh hari. Kalau tak silap ana pisang nangka, sebab bau aroma pisang nangka ni lain sikit dari pisang biasa. Ana ni bukan pandai sangat nama-nama pisang ni.Yang ana kenal pun pisang awak sebab dia bersegi, pisang emas sebab dia comel kecil-kecil ,pisang berangan sebab dia kurus dan panjang, pisang nangka ni sebab aroma dia kuat sikit ada bau nangka kan..tu je la kut yang ana kenal haha 😁😁

Banyak juga pisang ni , ana dah pun buatkan lepat pisang, lebih ni ana jadikannya pengat pisang pula.Kalau orang pantai timur depa panggil siro pisang. Bezanya, pengat pisang belah utara ni ada letak santan sebagai kuah, manakala siro tu air gula merah sahaja. Ana kurang sikit dengan siro ni sebab teramat manis , tak boleh terima pula dah senja-senja ni kan, kalau menu yang manis-manis sangat ni.


Cara masak pengat pisang 

Perkongsian resepi di blog ni, terbitkan sahaja lah walaupun ianya sekadar resepi yang pada sesetangah orang tu 'kacang' jer..namun akan tetap ada yang mencari. Mungkin mudah bagi seseorang tapi ada juga insan di luar sana yang tak pernah tahu caranya dan dengan perkongsian kita , dia berjaya mencubanya sendiri. Hari ini, ana nak kongsikan resepi dan cara nak masak pengat pisang.

Bahan-bahannya :

Pisang - kupas dan dibelah dua ( tak kira lah berapa biji dan jenis pisang apa pun yang korang nak masak)
Gula merah - ikut rasa ( sedap kalau tak terlalu manis kan )
Santan pekat 
Daun pandan
Secubit garam

Cara masak pengat pisang:

- Masukkan pisang yang telah di kupas dan di belah dua ke dalam periuk.
- Masukkan santan pekat dan gula merah
- Nyala kan api perlahan dan kacau selalu sehingga mendidih.
- Masukkan simpulan sehelai daun pandan dan secubit garam untuk keenakkan rasa santan tadi.
- Bila pisang dah lembik dan santan dah mendidih tu bermakna dah masak lah pengat korang .

~ Selamat mencuba ~