Hidup ini bukan sendiri
" Aku tak perlukan sesiapa pun dalam hidup ini !!!"... Allahu.. angkuh sangat ungkapan itu. Silap sangat kalau sebagai seorang manusia kita dengan sombong boleh berkata-kata sedemikian kerana dalam menjalani hayat di atas muka bumi ini, kita tidak boleh bersendirian tanpa insan-insan lain. Dari saat kita di lahirkan hinggalah jenazah kita bakal di usung ke liang lahat, kita memerlukan ehsan dan bantuan insan lain. Cuba duduk tarik nafas dalam-dalam dan renungkan seketika.. ya atau tidak bahawa kita perlukan pertolongan dan kehadiran insan lain yang mungkin tidak pernah kita kenali sepanjang hayat namun dia akan hadir untuk membantu kita meneruskan kesinambungan kehidupan.
Bermula dari saat kita di lahirkan.. selain ibu dan ayah.. akan hadir seorang doktor, bidan atau jururawat yang membantu proses kelahiran , kemudian di berikan rawatan sewajarnya, memandikan kita buat pertama kalinya dan sebagainya. Cukup satu tempoh, di adakan kenduri kesyukuran aqiqah, juga akan memerlukan insan-insan lain untuk menjayakannya, bukan ??
Masuk ke alam persekolahan, pasti kita perlukan insan bernama guru untuk mengajar kita dari mengenal huruf hingga ke peringkat pengajian tertinggi yang mampu kita capai. Kita perlukan kawan-kawan, rakan sebaya, rakan sekuliah, rakan sepermainan dan kemudian teman hidup untuk melengkapkan kitaran kehidupan. Dari situ kita menjadi sebahagian dari keluarga orang lain bila terbitnya mertua, ipar duai dan saudara mara. Kita tidak sendirian bukan..
Usia yang berbaki di teruskan bila sampai masa tua, tubuh tidak lagi berdaya melawan keadaan dan andai kita jatuh sakit, saat inilah kita lebih memerlukan ehsan dan bantuan orang lain. Sekali lagi doktor, jururawat , adik beradik, anak-anak dan sesiapa jua yang mungkin pernah kita benci dan marah di kala kita bertenaga, tiba satu saat kita memerlukan kehadiran mereka.
Dan akhirnya, selepas nyawa di ambil oleh Yang Maha Esa, kita jua masih memerlukan insan lain untuk memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan malah menggali liang lahat dan mengiringi kita hingga tiga langkah terakhir mereka yang bakal mereka tinggalkan selamanya. Dan.. di waktu itulah sahaja hanya kita yang akan berhadapan dengan Allah swt melalui alam yang baharu..
Jadi, berhati-hatilah dengan kata-kata agar tidak bisa menyakiti, mengguris rasa dan jagalah hati dari sifat keangkuhan dan kesombongan di atas muka bumi ini, kerana kita perlukan orang lain dalam meneruskan kehidupan. Hidupkan silaturrahim sesama insan, bajai dengan kasih sayang dan ehsan supaya bila tiba saat kita memerlukan, akan hadir mereka dengan penuh ikhlas dan redha dalam melaksanakan fardu kifayah buat kita nanti... Waallahu a'lam..
kredit foto : Google Image
4 Comments
Sebenarnya kita sentiasa memerlukan orang lain.Kita pun kena berdoa supaya Allah dekatkan kita dengan orang yang betul...dan orang yang baik-baik mahu mendekati kita.Seandainya bila terlintas hal yang tidak baik..ingat mati insyaAllah yang tidak baik itu terbatal untuk dilakukan.
ReplyDeletebetul sangat PC terima kasih di atas peringatan ini, In Shaa Allah sama-sama kita perbetulkan
DeleteDalam apa jua keadaan kita masih perlukan orang lain.
ReplyDeletetepat sekali AIsya :)
Delete