Nasi goreng ayam Bie Bie Corner Tetap Di Hati

Taman Keramat, di sinilah destinasi pertama ana menetap selepas tamat pengajian dan berhijrah dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur. Blok T , Flat PKNS, Taman Keramat , ana menjadi sebahagian penghuninya sekitar tahun 1990-an dahulu. Terlalu banyak coretan pengalaman di sini sebagai perantau mencari pengalaman kerja dan pengalaman hidup berdikari. Cuma ana bertuah kerana walaupun berhijrah dari kampung halaman, ana masih dalam pengawasan ibu saudara, kerana ana tinggal bersama wancu dan juga dua orang sepupu menyewa salah sebuah rumah pangsa 3 bilik disini.

 Taman Keramat, pastilah sinonim dengan Bas Mini 20 dan Kenderaan Sri Jaya 237A, 237B dan 237 sebagai kenderaan awam kami berulang ke tempat kerja di Bandaraya Kuala Lumpur. Adoihai nostalgia sungguh. 



Baru-baru ini, ana kembali semula ke sini bersama wancu, wan dan anak-anaknya yang dahulu membesar di Taman Keramat. Wancu kini dah bersara dan tinggal di Teluk Intan, anak-anaknya pun dah bekerjaya masing-masing dan berumahtangga serta mempunyai cahaya mata. Alhamdulillah. Kebetulan mereka semua ke Kuala Lumpur dan bercuti, ana sekeluarga pun turut serta. Lagi ramai lagi meriahkan. Dah habis ronda-ronda Kuala Lumpur, kami bercadang makan malam dan kembali ke Taman Keramat selepas Maghrib. Tujuannya bukan sekadar nak throwback, tetapi nak menikmati semula kesedapan nasi  goreng ayam dari kedai makan Bie Bie Corner yang terletak di seberang jalan blok kediaman kami dahulu. 




Nasi goreng ayam Bie Bie Corner ni memang lejen lah di kalangan yang pernah tinggal di sekitar Keramat. Bila ana posting sahaja di FB, ramai yang respon, semuanya rindu akan kesedapan nasi goreng ayam Bie Bie Corner ni. Hanya mereka yang pernah makan sahaja yang tahu apa yang istimewa tentang nasi goreng ayam Bie Bie Corner ni. 

Nasi goreng ayam Bie Bie Corner 





Haa.. Inilah dia nasi goreng ayam Bie Bie Corner yang lejen tu. Gambar tak berapa jelas sebab waktu malam dan sempat snap sekeping je kerana semua kelaparan nak makan. Tambah-tambah lagi masing-masing merindui kesedapan nasi goreng ayam ni, kan. Tak ada chance ana nak ambil gambar yang jelas dan cun, hehe :) 

Apa yang istimewa tentang nasi goreng ayam Bie Bie Corner ini ialah nasi gorengnya yang sedap lah kan. Terdapat hirisan hati ayam, pedal dan juga sayur kacang panjang, lobak merah sebagai penyedap rasa. Di sertakan ayam goreng dan juga sebiji telur mata kerbau sebagai side dishes nya. Di tambah pula sos cili dan kicap yang menjadi penyedap rasa bersama semangkuk sup kosong. Paduuu!! Kata orang sekarang ni. Sepinggan nasi goreng ayam Bie Bie Corner ni berharga RM7.50 tapi amat berbaloi kerana selambak ko. Memang kenyang, In Shaa Allah. Dan kalau jenis yang tak makan banyak tu, boleh makan dua orang satu pinggan. 

Kalau sekitar tahun 90-an dahulu harganya RM4.50 kalau tak silap ana. Inilah menu kegemaran kami bila malas nak masak. Turun bas mini 20, singgah dahulu ke Kedai Bie Bie Corner, order nasi goreng ayam dan juga ABC, bawa naik ke rumah. Alhamdulillah rasanya kali ini juga masih sama seperti dahulu lagi. Sempat berbual dengan taukeh kedai, dan katanya masih di masak oleh orang yang sama, salah seorang adik beradik depa. 

Sekarang ni selain nasi goreng ayam yang lejen ni, ada juga menu lain seperti satay, mee goreng, mihun goreng dan sebagainya. Kedai Bie Bie Corner ni di buka sebelah petang hingga ke malam sahaja rasanya. Begitulah keseronokan dan rasa syukur sangat bila kita masih diberikanNya kesempatan untuk kembali ke tempat lama, merasai keenakan menu-menu yang pernah menjadi kegemaran suatu masa dahulu. Syukur Ya Allah, syukur atas segala kesempatan yang Engkau berikan. 

Nasi goreng ayam Bie Bie Corner Tetap Di Hati Nasi goreng ayam Bie Bie Corner Tetap Di Hati Reviewed by Ana Jingga on February 13, 2019 Rating: 5

3 comments:

  1. Sedapnya. Kawasan Keramat tu banyak jual makanan sedap2kan kak.

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah.
    masih ada perniagaan ni. sebab sedap, kan.
    bertahun pun masih di cari :)
    harga meningkat seiring dgn masa, kan.
    bahan mentah pun dah mahal. KL plak tu. sedia maklum lah.

    ReplyDelete
  3. sedap tu nampak nasi goreng tu..

    ReplyDelete

Powered by Blogger.