Kuih seri muka durian yang sedap
Minggu lepas kami sepakat nak adakan majlis bacaan Yaasin Tahlil dan Doa Selamat untuk mengiringi mak saudara ana, Wan Zan yang akan berangkat ke tanah suci menunaikan umrah. Alhamdulillah Wan pergi dengan tajaan Andalusia Travel di bawah JKM Perak yang memilih namanya. Itulah namanya rezeki kan, siapa sangka Wan yang zahirnya memang tak punya pekerjaan dan pendapatan di usia 70 tahun yang mana di bawah penerima bantuan bulanan JKM dengan izinNya menjadi tetamu Allah swt ke Tanah Suci untuk ibadah umrah. Syukur Ya Allah, syukur Alhamdulillah.
Segala kelengkapan urusan kepergian wan kami uruskan adik beradik dan sepupu semuanya dan petang Sabtu 13hb April 2019 , kami adakan juga majlis secara potluck. Anak-anak buah wan, kawan-kawan dan jiran sekampung masing-masing bawa pelbagai juadah dari rumah masing-masing dan kami nikmati bersama selepas bacaan Yaasin dan Tahlil. Seronok sangat, murah rezeki wan dalam pelbagai bentuk kerana wan amat di sayangi anak-anak buah dan jiran-jiran sekampung.
Kuih seri muka durian
Dalam banyak-banyak menu petang tu, adik ipar ana, Julia Alisya bawa kan setalam kuih seri muka durian ni. Jue order dari Manjung, dan sepotong berharga 60 sen katanya, satu dulang tu dalam 50 potong juga rasanya ana tak pasti. Ia antara menu yang paling cepat laris petang tu, sebab rare kan. Walau bagaimana pun lain-lain menu pun semua habis dan sedap-sedap semuanya. Terima kasih sangat. Kami tuan rumah hanya menyediakan pulut kuning, kari telur dan rendang ayam yang kami masak berjemaah.
Kuih seri muka durian ni, kepalanya yang kuning tu kuat rasa duriannya. Ketika di makan rasa durian kampung pun ada. Bau durian pun semerbak sangat. Mana tak sedap kepalanya beperisa durian di adun dengan santan dan bawahnya pula pulut yang lemak manis. Ermmm dah rasa pulut durian lah kan bila di makan bersama. Memang sedap.
Rasa santannya cukup lemak dan tidak lembik. Boleh di potong-potong, kira memang hebat lah airtangan yang menjualnya. Berbaloi sangat dengan harganya. Pulut pun cukup lemak manis. Tak puas menikmatinya, ada rezeki nanti boleh lah order lagi kalau ada stok durian lah kan. Ini pun ana sempat ambil gambar sepotong sahaja hehe. Yang lain selesai rezeki tetamu petang tu. Terima kasih Jue.
0 Comments