BMW .. Bukan kereta mewah tu yang ana nak cerita dengan korang hari ni, tetapi nostalgia silam sekitar tahun 90an dengan Bas Mini Wilayah. Bas mini adalah pengangkutan awam utama untuk kami ketika itu untuk ke Bandaraya Kuala Lumpur. Selepas tamat STPM sementara menunggu keputusan peperiksaan, ana tinggal dengan mak saudara di Taman Keramat. Dapatlah pengalaman kerja di salah sebuah pusat membeli belah ternama masa tu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Kat mana ? Metrojaya Sinar Kota berhadapan dengan bangunan Maybank berhampiran Kompleks Kotaraya dan hentian Puduraya sana nun. Sekarang ni bangunan Sinar Kota tu dah jadi Mydin. 

Tahun 1990-an dahulu Metrojaya ni antara shopping mall ternama lah setanding Sogo dan Yaohan. Ana merasa lah kerja sebagai cashier kat situ untuk beberapa bulan. Seronok ya amat dapat gaji pegang duit sendiri walaupun masa tu gaji kami RM500 je lepas masuk o.t semua tolak campur. Eh! Masa tu RM500 banyak dah tau, ana siap bagi mak kat kampung lagi duit gaji lepas tolak sewa bilik, makan dan tambang ulang alik pergi kerja. Lebih tu sempat lah shopping kat Kotaraya dan Petaling Street hehe :) 


kredit foto lowyat.net 


Ana dan sepupu ana Intan sama-sama kerja kat sana, sebab Intan masa tu sedang tunggu keputusan SPM, adalah kawan pergi balik kerja kan. Bercerita pasal tambang bas, masa tu kami naik Bas Mini nombor 20 dari Taman Keramat ke Bangkok Bank laluan perjalanannya. Tambang dari mana kami naik atau turun tetap flat rate 50 sen sahaja sehala. Pergi balik baru RM1. Sebulan tak sampai pun RM30 tolak offday kan. Selain bas mini 20 ,  pengangkutan awam lain di sekitar Keramat ni adalah Bas Sri Jaya nombor 237, 237A dan 237B. Bas mini Keramat ke Bukit Bintang pula bas mini no 19 kalau tak silap sebab jarang-jarang naik bas ke sana. 

Bas mini masa tu memang lejen sangat lah kan. Bas memang banyak kekerapan dalam 5-10 minit ada jer bas yang sampai. Kalau peak hours tu, nasiblah kalau kena berdiri atas tangga. Mujur lah masa tu tak ada warga asing, yang naik pun orang kita sahaja, tambah lagi kawasan Keramat memang orang Melayu je lah. Kalau orang Indon selalu naik bas ke Chow Kit, laluan bas Sri Jaya tu. 

Bila naik bas mini ni dapat bas baru sedap lah sikit kan. Driver pun suka pasang lagu-lagu rock kapak masa tu. Sebab tu bila terdengar semula lagu-lagu zaman rock kapak sekitar 90-an, pasti terkenang kenangan naik bas mini. Nak-nak lagi bila balik kerja syif petang, balik pukul 10 malam berlari lah ke Bangkok Bank nak naik bas dari Sinar Kota tu. Selalu malam tak lah ramai penumpang dapatlah duduk sampai Keramat sambil mendengar lagu-lagu rock macam lagu Exist, Ekamatra, Damasutra dan seangkatan dengannya. 

Bas mini tak ada penghawa dingin tau macam bas-bas sekarang ni. Tingkap macam dalam gambar tu sama ada jenis tarik tolak ke tepi tak pun kalau bas lama tu jenis tingkap tarik tolak ke atas. Sebab bas tu laju berangin lah kalau naik, tapi kalau hujan nasib lah dapat bas tingkap rosak naya kena tempias la jawabnya. 


kredit foto babab.net 

Bas mini ni ada konduktornya yang akan kutip tambang dan beri kita tiket. Ada konduktor perempuan pun ramai. Tapi alhamdulillah walaupun naik bas mini ni laju mencelah-celah di jalan raya, kadang-kadang corner baring kata orang, tak pernah pula terjadi apa-apa kemalangan yang serius. Mungkin masa tu tak banyak kenderaan macam sekarang lah kan. 

Begitulah coretan kenangan yang pernah ana lalui dalam meniti pengalaman usia. Tak semua orang pernah merasa pengalaman dengan bas mini, khasnya selepas ia di tamatkan perkhidmatannya pada tahun 1998. Masa tu bas mini yang ana naik warna kuning jalur putih. Ana kongsikan disini serba sedikit sejarah bas mini wilayah ni yang dirujuk dari sumber wikipedia . 

Sejarah Bas Mini wilayah                              


Perkhidmatan Bas Mini Kuala Lumpur atau Bas Mini merupakan antara pengangkutan bas awam tertua dan paling popular di Malaysia, merangkumi kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Bas-bas berkenaan dicat dengan warna asas merah jambu berserta jalur putih pada bahagian tepi, serta mempunyai muatan sekitar 20-30 penumpang, berikutan saiznya yang kecil. Bas kerkenaan beroperasi berasaskan sistem komisen, dengan pengusaha perkhidmatan dibayar mengikut jumlah kutipan tambang.

Perkhidmatan bas mini dihentikan mulai 1 Julai 1998 serta digantikan dengan perkhidmatan bas Intrakota dan kemudiannya, Bas rapidKL pada tahun 2005.




Perkhidmatan bas mini bermula pada 23 September 1975 di bawah Kementerian Pengangkutan. Pada masa itu, bas mini beroperasi pada pelbagai laluan mengikut warna bas masing-masing (biru-putih, kuning-putih, merah-putih, ungu-putih dan hijau tua-putih). Bas mini berkenaan bertanggungjawab mengendalikan sehingga hampir enam puluh laluan berbeza. Tiga syarikat utama (Syarikat Kerjasama Pengaman (M) Bhd, Bas Mini Wilayah dan Konsortium Pengusaha Bas Mini Sdn Bhd) memonopoli kebanyakan laluan bas sementara pengusaha yang lebih kecil dibenarkan beroperasi di tempat tertentu sahaja.

Pada tahun 1975, semasa bas mini diperkenalkan sebagai satu bentuk perkhidmatan, tambang bas asalnya cuma 40 sen. Kemudian pada tahun 1991, tambang dinaikkan ke 50 sen dan dua tahun kemudian, tambang dinaikkan lagi kepada 60 sen. Bas mini tidak mempunyai jadual waktu tetap. Sebaliknya, perkhidmatan dijalankan berasaskan komisen di mana pengusaha dibayar mengikut bilangan trip serta kutipan tambang dalam sehari. Kadang-kadang, untuk bersaing dengan pengusaha lawan, pemandu mungkin akan melencong daripada laluan asal sehingga menyusahkan penumpang.

Pada tahun 1990, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Paduka Rahmah Osman, menetapkan warna piawai bas mini kepada "merah jambu" dan putih. Pada 1 Julai 1998, perkhidmatan bas mini dihentikan di bandar raya Kuala Lumpur.

sumber rujukan : https://ms.wikipedia.org/wiki/Perkhidmatan_Bas_Mini_Kuala_Lumpur

Kini semua itu tinggal kenang-kenangan. Bas mini no 55 ni ada di letakkan di Muzium Negara, Kuala Lumpur dah jadi sejarah pun kan. Dunia hari ini semakin maju dan pengangkutan awam pun semakin canggih dengan prasarana LRT, Monorel, Komuter dan MRT. Bas awam pun sekarang ni ada Rapid KL. Kalau dulu ada macam-macam syarikat bas menngikut kawasan di Kuala Lumpur ni macam Bas Mini, Bas Sri Jaya ( Kenderaan SJ ), Bas Len Seng dan sebagainya. Indahnya mengimbas nostalgia silam. 

18 Comments

  1. Cantik kan bas tu..sekarang dah zaman moden lagi upgred kan..satu infor menarik sekali

    ReplyDelete
  2. ha ha ha...
    terkenang sekali tu, aida naik la dgn abang.
    sekali tu kat celah mana ntah, bas mini ni corner lipat tau, AJ.
    melayang aida. sib baik la sempat pegang seat depan.
    punggung aida terangkat! :) ha ha ha ha ha
    abang aida gelakkan aida. kurang asam!

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha depa ni kalau corner memang ikut dan je, pegang la kuat2 kan :)

      Delete
  3. alaaa comey ngat. dah la warna pink ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. UN tak pernah lalui ye era bas mini hehe :)

      Delete
  4. Sempat juga merasa naik bas mini ni masa mula2 datang ke ibu kota dulu :) berhimpit-himpit macam sardin haha... Bas metro pun sama. Pudu, CM, Soho, Bangkok Bank semua tu memang nostalgia yg tak akan dilupakan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. merasa juga ye PH betul tu satu coretan kenangan sangat kan :)

      Delete
  5. Sekarang dah banyak jadi bas sekolah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. haah kan wak dah kaler oren sekarang ni :)

      Delete
  6. Ana sempat merasa naik bas mini ni kak. Lejen sungguh.

    ReplyDelete
  7. kenangan betul bas mini... kat ganu ni pun sempatlah naik dulu... kalau naik awal, tunggu penumpang penuh.. pastu tunggu lagi driver habis minum + lepak dulu, lama yakmaatt.geram pun ada dengan driver... hurmm berpeluh gaklaa tunggu driver sebelum bas nak bergerak...sekarang basmini dah pupus

    ReplyDelete
  8. haha ikut suka hati je kan memang geram lah kan Aboya :)

    ReplyDelete