Kulat sisir @ cendawan kukur

 

Kulat sisir atau Cendawan kukur

Berkongsi foto dari kawan FB yang masak kulat sisir hari ini.Kulat sisir atau ada yang memanggilnya kulat kukur atau cendawan sisir atau cendawan kukur.Sejenis kulat yang boleh di makan tetapi jarang ditemui lagi di kawasan bandar kita ni.Selalunya ia tumbuh pada batang-batang pokok getah yang telah tumbang dan mati khususnya selepas musim hujan.

Dahulu di kampung halaman ana memang banyak terdapat kulat sisir ini dan kami akan membawa bekas untuk mengutipnya dengan tangan bersama mak.Mak ana selalunya akan masak lemak kuning dengan isi kerang.Untuk memasak kulat sisir ini, ianya akan dibersihkan dahulu untuk membuang sisa sisa serpihan kayu batang getah.Kemudian ianya ditumbuk dalam lesung seketika supaya lembut dan barulah di masak.

Ada juga yang mengeringkannya dibawah pancaran matahari dan ianya boleh disimpan lama.Sekali lagi apabila kita hendak memasaknya perlu direndam supaya ianya kembali kembang dan lembut.Kadang kala terdapat juga kulat sisir yang dijual di pasar-pasar tani.Mak selalu berpesan kepada ana sekiranya beli di pasar atau pasar tani pastikan dihidu dahulu kerana bimbang mereka memungutnya dari ladang-ladang getah yang telah diracun.Pernah terjadi dan rasanya ada sebuah drama tempatan yang mengisahkan seisi keluarga termakan kulat beracun.Nauzubillah Min Zalik..minta dijauhkan dari segala keburukan.

Disebelah pantai timur pula, arwah ibu mertua ana pernah memasak kulat sisir ini digoreng dengan telur.Macam-macam variasi masakan mengikut tradisi sesebuah negeri dan citarasa tempatan.Ana sekadar berkongsi pengalaman memakan kulat sisir bersama pembaca semua.Secara peribadinya ana belum pernah lagi memasak sendiri kulat sisir ini kerana semakin sukar untuk ditemui lagi.

~berkongsi pengalaman disini~