Hujan:

Google Image

Hampir dua minggu, cuaca amat panas membahang, Alhamdulillah dengan izinNya sudah dua petang hujan turun dengan lebat membasahi bumi di Bandar Country Homes. Dingin terasa di malam hari dengan kehadiran hujan sebentar tadi.Begitulah hukum alam, kita hambaNya hanya mampu meramal dan merancang namun segala kejadian adalah di tangan Yang Maha Esa.

Ketika cuaca panas terik ,amat belas melihat pohon-pohon yang semakin menguning dan kelayuan di tengahari rembang. Haiwan juga kehausan yang amat sangat mencari sumber air untuk membasahi tekak. Ana memang meletakkan sebekas air didalam mangkuk plastik belakang rumah dan setiap hari ada kucing-kucing berkeliaran di luar rumah akan singgah minum.

Namun segala kejadian yang direncanakanNya ada hikmah disebaliknya.Ketika cuaca panas kering, ketika inilah tumbuh-tumbuhan berbunga lebat dan mekar indah pelbagai warna. Lihat sahaja banyak perkongsian di laman-laman sosial tentang pokok bunga Tekoma yang indah di merata tempat seolah-olah berada di luar negara.Di sini juga bunga-bunga Tekoma kembang indah pelbagai warna dan jatuh berguguran di muka bumi.

Ramalan mereka cuaca panas akan berterusan hingga bulan April, tetapi kerana Allah swt Yang Amat Pengasih dan Penyayang, kini hujan muncul semula. Kembali menghijau tumbuhan disekitar kediaman. Kembali terisi di longkang-longkang kecil air untuk haiwan-haiwan liar singgah menghilangkan dahaga.Demikianlah sifatNya. Segala kejadian ada rahsiaNya.Sebagai hambaNya kita jangan suka mengeluh ketika hujan atau panas, sabar dan sentiasa mendekatkan diri denganNya. Alam ini milikNya. Peringatan buat diri ana sendiri dan sebuah perkongsian disini.