Baru-baru ni ana dan keluarga singgah ke Tugu Peringatan Negara di Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan balik dari satu majlis perkahwinan. Dah alang-alang lalu kawasan tu, singgah bergambar seketika untuk satu projek EFG nanti.Bila berada di bawah monumen Tugu Negara yang tersergam indah tu, terpandang satu tulisan dalam huruf jawi terukir di kaki tugu.Ana menduga adik Ika untuk membacanya dan Alhamdulillah adik lancar membaca tulisan jawi.Ana juga masih boleh membaca dengan lancar tulisan jawi sehingga hari ini, cuma bila mengeja atau menulis sudah tidak begitu bagus.Mungkin kerana sudah lama tidak mempraktikkannya kerana terlalu leka dengan keyboard dan keypad.

Tulisan Jawi semakin dipinggirkan


Terkenang semula ketika era 1980-an ketika ana di bangku sekolah rendah, walaupun aliran Inggeris kami belajar mata pelajaran Jawi. Malahan lebih unik di mana murid-murid bukan Melayu juga turut serta dalam kelas tersebut. Ketika itu lah mula mengenal huruf-huruf jawi, mengeja dan membacanya. Ana tak pasti tentang sistem pembelanjaran sekarang adakah masih ada kelas-kelas pelajaran jawi ni.


tulisan jawi
foto: Google Image


Huruf jawi bermula dengan alif, baa,taa sama dengan bacaan untuk mengaji Al-Quran.Siapa yang pandai mengaji ana rasa pasti boleh membaca tulisan Jawi dengan fasih kan.Kerana itulah dahulu, mak akan merotan kami jika malas pergi mengaji Al-Quran kerana katanya, esok dah ada anak-anak baru menyesal kalau tak tamat mengaji.Memang benar, adalah satu kerugian apabila kita tidak pandai mengaji atau membaca dan menulis dalam huruf Jawi kerana ia sebagai lambang tulisan Melayu suatu ketika dahulu.Jika orang Cina mempunyai huruf-huruf mereka sendiri begitu juga kaum Indian, kita orang Melayu seharusnya berbangga dengan tulisan Jawi kita.Namun di era kemajuan teknologi masa kini, tulisan Jawi seolah-olah sudah jauh terpinggir.


surat khabar utusan melayu
Akhbar Utusan Melayu (kredit foto: Google Image)

Ana masih ingat, dahulu adanya surat khabar Utusan Melayu yang dicetak dalam tulisan Jawi.Arwah Tok akan membelinya setiap hari dan kami merangkak-rangkak mengeja untuk membacanya.Masih ana ingati juga salah seorang kawan arwah Tok yang berbangsa Cina, mahir membaca surat khabar Utusan Melayu ni.


kredit foto: Google Image


Rasanya pihak-pihak berwajib perlu mengambil beberapa inisiatif untuk memartabatkan semula tulisan Jawi dari terus terpinggir dek arus kemodenan.Contoh nya perbanyakkan papan tanda dengan penggunaan tulisan Jawi berserta tulisan rumi.Semasa ana bercuti di Kuala Trengganu suatu masa dahulu, ana rasa sangat teruja dan bangga kerana disekitar bandarnya kebanyakkan premis dan papan-papan tanda menggunakan tulisan Jawi.Rasanya di Kelantan juga sedemikian barangkali kerana ana belum pernah menjejak kaki ke bumi Cik Siti Wan Kembang ni.

Apa kata sesekali kita uji minda kita membaca semula tulisan atau naskah-naskah dalam bentuk tulisan Jawi. Lihat sama ada kita masih fasih atau tidak?Begitu juga dengan anak-anak kita.Semoga ada usaha-usaha murni yang dijalankan oleh mana-mana pihak untuk memartabatkan semula tulisan Jawi di tanahair kita.
In Shaa Allah.