Sebelum ini pernah ana kongsikan detik sedih bila Spenda mati di atas ribaan ana dan kisahnya di SINI .Sedang berusaha memberikannya vitamin ke mulut, Spenda meronta dan satu cakaran terkena pada lengan kanan ana.Bukan pertama kali dicakar kucing, dah banyak kali dah pun tapi tak jadi satu masalah pun pada ana, Alhamdulillah. Nak-nak lagi ketika memandikan anak-anak bulus yang ada di rumah ni, calar balar tu dah biasa dah pada ana dan anak-anak. 


Cuma kali ini, cakaran Spenda ketika dia sedang nazak,sakit dan lukanya agak dalam juga pada pergelangan tangan ana. Bimbang juga akan mendatangkan kesan sampingan dari sudut kesihatan pada ana nanti, mana lah tahu kan, mungkin ada kuman pada kukunya yang boleh menyebabkan ana dijangkiti kerana luka nya agak dalam. Kalau sebelum ini, ana cuma bersihkan kesan cakaran dengan sabun dan sapu minyak gamat, esoknya dah pulih je kesan cakaran. Kali ini, Kak Long terus mengajak ana ke klinik untuk dapatkan rawatan dari doktor.

Gambar dari Google Image

Selepas sahaja selesai menguruskan Spenda yang dah tak bernyawa, ana bersihkan terus luka dengan cucian Dettol Handwash yang kebetulan berada di bilik mandi. Cuci pada luka bersih-bersih dan keringkan. Kemudian ana ke klinik dan beritahu pada doktor ana terkena cakar kucing. Doktor memeriksa luka dan mengarahkan jururawat mencuci sekali lagi luka di lengan ana. Pedih juga rasa pada kulit, maklumlah luka tu dalam kan. 

Selepas dicuci, ana diberikan satu suntikan pada bahagian lengan. Sakit ooo, maklumlah dah lama tak kena injection bagai kan. Selesai, ana dibekalkan beberapa jenis ubat untuk di sapu, antibiotik untuk dihabiskan dan doktor turut membekalkan ubat tahan sakit dan berpesan sekiranya ana demam selepas ini segera kembali ke klinik untuk mendapat rawatan susulan. Doktor bimbang jika ada kesan dari jangkitan kuman pada tangan.

Dan Alhamdulillah, biarpun kesan parutnya masih ada di lengan ana,namun tiada yang serius pada kesihatan. Sebagai peringatan untuk kita semua yang sayangkan haiwan ni, walaupun tak lah teruk mana lukanya, apa yang perlu dilakukan bila dicakar kucing ialah, bersihkan dahulu bahagian yang terkena dan sebaik-baiknya dapatkan rawatan ke klinik untuk langkah pencegahan. Doktor biasanya akan memberikan kita suntikan antibiotik sahaja.